HAFIZ AL-QURAN ORANG ASLI DAN USAHAWAN ASNAF OKU TERIMA ANUGERAH SEMPENA SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1448H PERINGKAT NEGERI PERAK
IPOH, 16 Jun 2026 – Hafiz al-Quran daripada komuniti Orang Asli, Encik Osman bin Hamzah dan usahawan asnaf Orang Kurang Upaya (OKU), Encik Khairruddin bin Mazli, telah menerima pengiktirafan sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Perak menerusi Anugerah Khas dan Anugerah Ikon Asnaf yang disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Penerima Anugerah Khas, Encik Osman bin Hamzah, 25 tahun, dilahirkan di Kampung Santeh, RPS Legap, Lasah, Sungai Siput (U). Beliau merupakan anak ketujuh daripada lapan orang adik-beradik berasal daripada masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar. Beliau telah memeluk agama Islam pada tahun 2013 ketika berada di tingkatan satu.
Dalam bidang pendidikan, Encik Osman memiliki Sijil Asas Tahfiz Darul Quran JAKIM serta Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Darul Quran JAKIM. Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Syariah di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Encik Osman juga merupakan pelajar komuniti Orang Asli pertama menghafaz al-Quran 30 juzuk. Sebagai seorang hafiz al-Quran, Encik Osman aktif mengajar al-Quran dan sering dijemput sebagai imam solat tarawih sejak tahun 2022, antaranya di Surau PERKIM Kebangsaan dan Masjid Kampung Bawong, Lasah. Beliau juga aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan dan kesukarelawanan menerusi penglibatan bersama Sukarelawan Yayasan Ikhlas serta Sukarelawan Persatuan Inspirasi Muallaf.
Atas kecemerlangan dan sumbangan yang ditunjukkan dalam pembangunan ummah, beliau telah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas dan membawa pulang wang tunai RM5,000, sebuah komputer riba sumbangan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) serta plak penghargaan.
Sementara itu, penerima Anugerah Ikon Asnaf, Encik Khairruddin bin Mazli, 35 tahun, merupakan anak keempat daripada enam orang adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan formal di Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh dan menamatkan persekolahan sehingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Pada tahun 2012, beliau diuji dengan kehilangan penglihatan sepenuhnya akibat penyakit Glaukoma. Namun, ujian tersebut tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan kehidupan dan berdikari.
Pada tahun 2015, beliau mula mencari rezeki dengan menawarkan khidmat urutan di Padang Polo, Ipoh. Setahun kemudian, beliau berpindah ke Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh bagi mengembangkan perkhidmatan yang ditawarkan. Hasil kepercayaan dan sokongan pelanggan yang semakin meningkat, beliau berjaya menyewa sebuah premis perniagaan pada tahun 2017 untuk menyediakan perkhidmatan urutan badan dan refleksologi kaki.
Pada tahun 2023, beliau menyertai Kursus Keusahawanan Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) MAIPk dalam bidang terapi urutan. Melalui program tersebut, beliau menerima bantuan peralatan dan bimbingan keusahawanan yang membantu mengembangkan perniagaan secara lebih sistematik.
Hasil usaha gigih dan sokongan yang diterima, pendapatan bulanan beliau meningkat daripada sekitar RM1,800 kepada RM7,000. Beliau kini berjaya mengusahakan premis perniagaan Sufi Reflexology serta mendaftarkan perniagaannya sebagai pusat Sistem Latihan Dual Nasional.
Ketabahan serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh Encik Khairruddin dalam menghadapi cabaran hidup menjadikan beliau contoh inspirasi kepada masyarakat. Kejayaan yang dicapai membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan. Encik Khairruddin penerima Anugerah Ikon Asnaf membawa pulang wang tunai RM5,000 dan plak penghargaan.
MAIPk merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Osman bin Hamzah, penerima Anugerah Khas dan Encik Khairruddin bin Mazli, penerima Anugerah Ikon Asnaf sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Perak.










